Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Presiden PAUSM 2015-2017
Dari hati ke hati,
Terlebih
dahulu kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana Mesyuarat Agung Tahunan AUSM telah
berjalan dengan lancar dalam suasana kematangan dan silaturahim yang mantap.
Kita amat bersyukur atas kerjasama dan semangat muhibbah yang ditunjukkan oleh
semua pihak yang hadir.
Secara
peribadi, saya berterima kasih kepada semua yang hadir kerana merestui
perlantikan saya sebagai Presiden AUSM yang baru, walaupun ini merupakan satu
keputusan yang saya sendiri tidak menduganya. Seolah-olah satu mimpi disiang
hari . Saya juga berterima kasih kepada
para ahli AUSM yang telah menghantar ucapan tahniah melalui beberbagai cara dan
media.
Apa pun saya
menerimanya dengan segala rendah diri, dan hati terbuka terutama sekali apabila
ahli-ahli Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama melantik satu barisan ‘pekerja’
yang amat sesuai dan dekat dengan jiwa dan hati nurani USM yang kita kenali. Ia
menjangkau batasan gender, etnik, orang kelainan upaya (OKU), usia dan juga
bidang serta pengalaman baik sebagai seorang ahli diplomat mahupun seorang penggerak
masyarakat!
Kami rasa
amat bertuah dengan kepelbagaian kepemimpinan ini untuk meneraju AUSM secara
muafakat menjelang 2017, apa lagi pada tahun hadapan alma mater kita agak
berusia 45 tahun. Semua ini akan meberi peluang terbaik untuk AUSM melonjakkan
lagi nama USM dan mengilapnya dengan menghidupkan lagi cogan kata “KAMI
MEMIMPIN.”
Oleh itu kita
menaruh harapan tinggi bahawa kerjasama erat akan terus diwujudkan bersama
semua ahli AUSM agar membawa rahmat dan petanda baik, insyaallah.
Dalam masa
yang terdekat ini, para ‘perkerja’ AUSM akan bertemu dan berbincang untuk
mengorak langkah bagi menyempurnakan amanahnya, dan amat mengalu-alukan apa jua
sumbangan dan pandangan dari semua ahli dimana saja mereka berada. Dari masa ke
semasa, halaman ini akan terus menemui AUSMers untuk mencatat masa
hadapan AUSM dan sudah tentunya USM itu sendiri.
Salam AUSM,
dan salam hormat
Dzul, Pharmacy '76