Soalan lazim ialah pertanyaan yang sering diajukan oleh para graduan USM kepada pihak Persatuan Alumni USM. Ruangan ini diwujudkan bagi menjawab segala persoalan supaya semua graduan mendapat maklumat yang lebih tepat dan jelas tentang Persatuan Alumni USM.

Sila rujuk soal-jawab di bawah dan diharapkan penjelasan yang diberikan bertepatan dengan kehendak graduan. Sebarang persoalan juga boleh diajukan kepada pihak kami di sini.



APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA PEJABAT PERMAJUAN DAN PERHUBUNGAN ALUMNI (PPPA) DAN PERSATUAN ALUMNI USM (PAUSM)?

Pejabat Permajuan dan Perhubungan Alumni (PPPA) ialah jabatan di bawah Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan kesemua graduan yang telah menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia. Semua graduan Universiti Sains Malaysia adalah secara automatik bergelar alumni. Bahagian ini memberikan perkhidmatan kepada semua alumni. Bahagian ini juga memainkan peranan penting untuk mempromosikan imej yang baik tentang alumni USM kepada mahasiswa-mahasiswa USM yang masih dalam pengajian.

Persatuan Alumni USM (PAUSM) pula ialah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul semua alumni USM yang berminat untuk bergiat aktif dengan persatuan. Alumni yang berminat untuk menjadi ahli PAUSM perlu berdaftar dengan persatuan yang mana pendaftaran adalah untuk seumur hidup.

Walau bagaimanapun, PPPA dan PAUSM sentiasa bekerjasama mengadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan alumni USM.



APAKAH KELEBIHAN MENYERTAI PERSATUAN ALUMNI USM (PAUSM)?

Alumni USM yang berdaftar dengan persatuan tidak perlu membayar yuran tahunan kerana yuran pendaftaran adalah untuk seumur hidup. Setelah berdaftar menjadi ahli persatuan, alumni akan mendapat keutamaan untuk menggunakan kemudahan di USM dengan kadar bayaran yang lebih berpatutan.

Antara kelebihan kad keahlian Persatuan Alumni USM adalah seperti berikut :

  • Kad Alumni boleh digunakan sebagai pas keluar masuk ke kampus USM untuk rujukan pengawal keselamatan.
  • Kad Alumni juga melayakkan ahli mendaftar sebagai ahli perpustakaan dengan kadar bayaran serendah RM200.00 untuk pendaftaran kali pertama dan RM100.00 tahunan.
  • Memudahkan urusan tempahan bagi kemudahan fasiliti dalam USM dengan Unit Sukan.
  • Pemegang kad alumni akan diberi kadar diskaun sebanyak 15 % untuk semua jenis bilik bagi penginapan di Rumah Tetamu USM.
  • Kad alumni ini juga melayakan ahli mendapat kadar diskaun untuk penginapan hotel di sekitar Pulau Pinang iaitu Eastin Hotel, Vistana Hotel, Equatorial Hotel , Alora Hotel , Parkroyal Penang Hotel, Cititel Penang, Penang Golf Club.

ADAKAH SAYA DIWAJIBKAN UNTUK MENYERTAI PERSATUAN ALUMNI USM (PAUSM)?

Graduan USM yang telah menamatkan pengajian adalah memang secara automatik bergelar alumni USM. Tetapi penyertaan untuk menjadi ahli Persatuan Alumni USM adalah sangat-sangat dialukan kepada semua graduan walaupun ia tidak diwajibkan.

Persatuan Alumni USM adalah sebagai platform untuk menghubung dan mengumpulkan alumni-alumni serta mendekatkan alumni dengan universiti. Penyertaan yang aktif dari ahli alumni diharapkan dapat menggerakkan persatuan sehingga mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan oleh Persatuan Alumni USM dan universiti.



APAKAH SUMBANGAN YANG DAPAT SAYA BERIKAN DENGAN MENYERTAI PERSATUAN ALUMNI USM (PAUSM)?

Persatuan Alumni USM sangat berbesar hati menerima penyertaan dari semua graduan USM yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing untuk memberikan sumbangan dalam membangunkan persatuan. Antara sumbangan yang boleh diberikan oleh ahli alumni adalah seperti idea, tenaga, kreativiti dan juga kewangan.

Ahli alumni juga digalakkan untuk terlibat dengan semua aktiviti yang dianjurkan persatuan sebagai salah satu bentuk sumbangan dan sokongan kepada persatuan. Dengan ini, secara tidak langsung alumni dapat menyumbang dalam pembangunan persatuan dan juga universiti secara khususnya dan masyarakat secara amnya.
Add us on Facebook Join us at Yahoo! Groups Be a member of our Portal Gateway Follow us on Twitter!