Junior Doctor merupakan sebuah program tahunan anjuran MedSoc dengan kerjasama Pusat
Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM). Program berbentuk motivasi ini pertama kali diadakan pada Mac 2013 dan bertujuan untuk memberi pendedahan yang eksklusif kepada para peserta tentang kehidupan sebagai seorang pelajar kursus Ijazah Doktor Perubatan di USM. Program kali ketiga ini dibuka kepada para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping dan anak-anak ahli-ahli Alumni USM (AUSM) yang berdaftar.

Menerusi program Junior Doctor ini, para peserta dapat merasai pengalaman sebagai seorang pelajar perubatan dengan menjalani sendiri sesi pembelajaran kursus Ijazah Doktor Perubatan di USM sepanjang tempoh program ini berlangsung. Mereka akan mengikuti fasilitator-fasilitator masing-masing yang terdiri daripada beberapa pelajar perubatan USM yang akan bertindak sebagai ‘abang’ dan ‘kakak angkat’ kepada para peserta. Tambahan lagi, para peserta juga akan diberi kebenaran untuk mengakses semua tempat pembelajaran di USM dan Hospital USM, sepertimana yang dibenarkan kepada seorang pelajar perubatan USM.

Selain itu, para peserta Junior Doctor akan menjalani sesi-sesi yang disediakan khas untuk mereka seperti sesi eksplorasi anatomi, kursus pertolongan cemas, tutorial problem based learning (PBL), dan kursus kemahiran klinikal secara praktikal. Para peserta juga akan diberi panduan dan latihan cara untuk menghadapi temuduga untuk kursus Ijazah Doktor Perubatan. Mereka akan ditemuduga oleh para pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dan akan diberi penilaian berdasarkan hasil temuduga masing-masing. Di samping itu, para peserta juga berpeluang untuk mengetahui tentang kerjaya perubatan dengan lebih mendalam dari perspektif doktor sendiri menerusi slot seminar kerjaya yang disediakan khas oleh barisan doktor-doktor pakar Hospital USM.


OBJEKTIF PROGRAM

Di akhir program ini, pihak penganjur berharap agar kami dapat: 
-Memberi pendedahan kepada para peserta tentang kehidupan sebagai seorang pelajar kursus Ijazah Doktor Perubatan di USM; 
-Memupuk minat terhadap bidang perubatan dalam kalangan para peserta;
-Memberi motivasi kepada para peserta agar terus berusaha keras untuk mencapai cita-cita masing masing.
-Mewujudkan peluang kepada ahli-ahli Alumni USM untuk bertemu dan membina rangkaian (networking) sesama sendiri. 


Add us on Facebook Join us at Yahoo! Groups Be a member of our Portal Gateway Follow us on Twitter!