17 Mac 2012 : Pada 3 Mac 2012 yang lalu, Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-16, bertempat di Anjung Budi, Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis yang bermula pada jam 9 pagi telah dimulakan dengan pendaftaran alumni-alumni yang hadir. Agenda utama pada mesyuarat tersebut ialah pembentangan Perlembagaan PAUSM yang telah dikemaskini oleh Jawatankuasa Eksekutif PAUSM sesi 2011/2013.

Pembentangan Perlembagaan PAUSM telah dikendalikan oleh Prof. Madya Afidah Abdul Rahim selaku Setiausaha PAUSM. Tujuan pembentangan Perlembagaan PAUSM ini adalah untuk menerangkan secara lebih jelas tentang pembaharuan Fasal-Fasal yang telah dikemaskini kepada alumni-alumni dan mendapatkan persetujuan semua ahli mesyuarat kerana Perlembagaan tersebut perlu dipanjangkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk kelulusan. Beberapa cadangan dari ahli mesyuarat yang lain juga telah diambil kira untuk memperkemaskan lagi Perlembagaan tersebut. Pembentangan berjalan dengan lancar dan diakhiri dengan persetujuan sebulat suara dari semua ahli mesyuarat.

Selain pembentangan Perlembagaan PAUSM, mesyuarat terlebih dahulu dipengerusikan oleh Presiden PAUSM, YBhg. Dato' Syed Jamal Syed Jaafar dengan pembentangan Minit Mesyuarat Agung ke-15 (2011) dan Laporan Aktiviti Tahunan sepanjang tahun 2011. Kemudian mesyuarat diambil alih oleh Bendahari PAUSM, Prof. Madya Saad Othman untuk pembentangan Laporan Kewangan 2011.

Mesyuarat telah diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh Presiden PAUSM setelah pembentangan Perlembagaan PAUSM selesai. Terdapat jamuan makan tengahari juga disediakan untuk semua alumni yang hadir semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 tersebut. Persatuan Alumni USM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua alumni yang hadir memberikan sokongan dan melancarkan perjalanan mesyuarat tersebut.


Oleh : Noor Shahada Mohd Fauzi

 
Add us on Facebook Join us at Yahoo! Groups Be a member of our Portal Gateway Follow us on Twitter!