Khemah AUSM dipenuhi dengan orang ramai.
13 Ogos 2010 :Persatuan Alumni USM mengucapkan sekalung tahniah kepada semua graduan yang telah berkonvo pada Majlis Konvokesyen USM kali ke-42 yang berlangsung bermula 4 Ogos hingga 8 Ogos 2010. Memandangkan keahlian ahli alumni pada tahun 2010 bukan secara automatik seperti tahun sebelumnya, pihak sekretariat Persatuan Alumni USM telah 'turun padang' bagi mendapatkan pendaftaran ahli alumni dari para graduan.
Bermula 31 Julai 2010 bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra(DTSP), pihak sekretariat telah membuka kaunter pendaftaran bagi menjalankan operasi tersebut. Kemudian diteruskan di Tapak Ekspo Konvo dan Dewan Utama Pelajar(DUP) bermula 4 Ogos hingga 9 Ogos 2010. Sepanjang tempoh ini, keahlian alumni yang berjaya dikumpul hanya seramai 350 orang sahaja. Masih terdapat ramai graduan yang belum lagi berdaftar dengan Persatuan Alumni USM. Diharapkan selepas ini akan lebih ramai graduan yang akan mendaftarkan diri untuk menyertai Persatuan Alumni USM.
Selain dari membuka kaunter pendaftaran alumni, sekretariat juga telah membuat jualan cenderahati, jualan 'plaque', jualan beg kertas dan beg 'non-woven' beserta beberapa pakej istimewa bersama Celcom. Sambutan yang diberikan agak menggalakkan. Tujuan jualan ini dilakukan adalah untuk menambah pendapatan Persatuan Alumni USM memandangkan persatuan merupakan sebuah badan organisasi bukan kerajaan(NGO). Jualan-jualan ini akan diteruskan juga pada konvokesyen tahun berikutnya.
Pihak Persatuan Alumni USM mengucapkan ribuan terima kasih kepada sekretariat ConvEx'10 kerana telah memberikan kerjasama yang begitu baik dengan pihak persatuan. Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Oleh : Noor Shahada Mohd Fauzi